eNovel Siri Deva Danava RAMA : Bab 2

“Ya Tuhanku, Tuhanku sekian alam. Bantulah aku,” kataku sebelum membuka mataku . Kali ini penglihatanku cerah dan bukan kabur-kabur tetapi badanku masih tidak boleh digerakkan.

“Mmikiey gappo tuw?” bentak suatu suara yang kurasa milik burung hijau itu. Ku cuba mencarinya tapi aku tidak dapat menggerakkan kepalaku langsung. Tiba-tiba, aku terasa seperti sesuatu hinggap di atas kepalaku, kemudian berjalan ke arah dahiku. Aku cuba membeliakkan mataku ke atas. Dia muncul di sebelah mata kiriku.

“hmmph, toksoh myussoh gok, wak wak rilek yah. Mmikiey banyok gitumo,” kata burung itu kemudian mematuk matuk dahiku berulang kali.  (Hmmh, tak usah menyusahkan diri la, rilek rilek je. Banyak betul memikirnya

Sakit.

‘Banyaok mmikiey, banyok mmikiey,” katanya sambil mematuk-matuk lagi dahiku. (banyak memikir, banyak memikir)

Setiap kali dahiku dipatuk, mataku kupejam sekuatnya. Namun lama-kelamaan, badanku mula tenangdan patukannya tidak lagi sesakit pada awalnya.

“Letih ko?’ Tanya burung itu kepadaku, yang kini telah beralih ke atas dadaku. (Letih ke?)

“Ho” kataku. (Ya)

“Sikik lagituw okaylatuw, jange jjerrik pulok..he he” katanya bereloroh (Sikit lagi okaylah tu. Jangan menangis pulak he he).

“Ho” (Ya) balasku.

“Ho ..Ho” kata burung itu mengajukku dan mengeleng kepalanya ke kiri dan ke kanan.

“Kawe wak tubik doh butey plurhu alik blakei demo,” ( Saya dan keluarkan peluru dari belakang awak)

“trimo kaseh,” ucapku. “Banyyoook!” cuba merenung dan memastikan air mukaku juga betul-betul meriakkan rasa berterima kasihku.

“Saghi duo lagiey, okey kuk demo,” (sehari dua, okay kot )

“Trimo kasih, trima kasih sngottinyoo,” (terima kasih, terima kasih betul-betul ni)

“Hu..Hu” kata burung itu.

‘Nok denga crito?” (Nak dengar cerita?)

Aku angguk.

Segala pebualan burung hijau adalah dalam loghat Kelantan, namun untuk memudahkan penulisan cerita yang baru ingin disampaikan ini, semuanya telah dipersembahkan ke dalam bahasa moden.

Pada suatu masa dahulu, tidak jauh dari sini, datanglah seorang anak raja bersama saudara-saudaranya untuk berburu di dalam hutan tebal ini. Nama putera tersebut adalah Putera Muda kerana beliau adalah yang paling bongsu antara kesemua saudara-saudaranya. Putera Muda menjadi kesayangan saudara-saudaranya, bonda dan ayahandanya serta rakyat jelata kerana wajahnya yang bersih ditambah pula budi pekertinya yang cemerlang.

Pada hari yang dikatakan tersebut, saudara-saudara Putera Muda telah berpakat sesama mereka untuk beradu siapa yang akan dapat membawa balik Si Malik Hatantar, beruang jadian yang hitam legam. Jadian yang disumpah untuk hidup di dalam hutan tebal itu selama- lamanya. Mereka semua tidaklah berhajat untuk mencedera atau mengapa-apakan Si Malik Hatantar itu, sekadar untuk memotong bulu di kepalanya untuk di bawa balik kepada ayahbonda sebagai bukti kepriaan mereka berburu di hutan tebal ini. Mengikut kata orang-orang dulu, tiada pernah seorangpun yang mampu menyentuh apatah lagi memotong barang sedikit bulu dari badan Si Malik Hatantar ini kerana walaupun dia nampak seakan beruang yang jinak, Malik sebenarnya sangat culas dan telah memperdaya bukan seorang dua pendekar apatah lagi pahawan tersohor di bumi Javi ini. Si Malik begitu menjaga bulu-bulunya sehingga dikatakan orang, setiap bulan purnama Si Malik akan mengusapkan madu liar ke setiap helai bulu di badanya dan akan menjirus sekujur tubuhnya dengan setempayan air bunga yang disiap sediakan oleh dayang-dayang Dewi Bulan Purnama itu sendiri.

Mengikut kata orang tua-tua, Si Malik begitu menjaga kecantikan dan kesihatan bulu ditubuhnya kerana bulu-bulunya adalah sakti dan boleh menunaikan hajat ikhlas seorang perawan atau pria. Walaupun rupanya hodoh, hitam legam dan berbulu sudah dijadkan pula bulu-bulunya berkuasa sakti.Maha Kuasa Dewata yang Ke atas segala sesuatu, jadi semuanya tunduk.

Perihal bagaimana Si Malik Hatantar disumpah sebegitu rupa tidaklah pula diketahui yang mana sekali benarnya. Ada yang berkata dia telah menyakitkan hati kedua ibubapanya, ada pula yang kata kerana padah tidak mengendahkan hajat isterinya yang mengandung mengidam makan buah kedondong hutan, malah ada yang kata kerana ketidaksenonohan Si Malik ini yang suka bermandi telanjang bulat di setiap bulan purnama ada kiranya. Yang mana satu, masih terdapat dalil dan takwil masing-masingnya, jadi tidak tersimpulkan asal cerita terjadinya sumpah Si Malik itu sampai ke hari ini.

Walaupun begitu, ada seorang tua bernama Tok Keladi yang membuat rumah di kaki gunung Stong tidak lama dahulu pernah berkata bahawa Si Malik Hatantar ini mula kejadiannya adalah antara Makhluk kejadian Dewata yang paling terindah, sesiapa yang terpandang pasti mengucap maha Kuasa Dewata Penguasa Alam, Hanya Dialah yang mampu menciptakan keindahan sedemikan rupa. Namun Si Malik Hatantar ini, oleh kerana meletakkan amalan menjaga kecantikannya menjadi penyebab terpelihara keindahannya, maka terjatuhlah sumpah ke atasnya menjadi beruang hitam berbulu lebat supaya Si Malik ini belajar merendah diri semula. Pada setiap bulan purnama, jika dia tidak melulur madu dan mandi air bunga dari Puteri Bulan Purnama, maka akan luruhlah setiap bulu pada tubuhnya dan ternampaklah keaibannya.

Untuk mendapatkan air bunga dari Puteri Bulan Purnama bukanlah secara percuma. Baginda Puteri meletakkan syarat 7 dulang bunga kembang semalam bewarna merah yang hanya terdapat di lembah paling dalam dan sukar dilewati di dalam hutan tebal ini.

Dipendekkan cerita, Putera Muda dan saudara- saudaranya membuat rancangan untuk kembali semula esok kerana mereka harus lekas pulang untuk mengiringi ayahbonda yang akan berlepas di pelabuhan menaiki kapal diraja, Naga Emas Chondong untuk melawat saudara dan kaum kerabat di pulau-pulau selatan Laut Merah dan kawasan sekitar.

Dalam perjalanan pulang, Putera Muda mendapat ilham lalu dia memohon izin dari saudara-saudaranya untuk pergi dahulu dengan alasan ingin memeriksa perangkap yang dipasang untuk menangkap si burung cenderawasih. Dengan berat hati saudara-saudaranya meninggalkan Putera Muda dengan janji supaya bergegas pulang sejurus memeriksa perangkap itu. Saudara yang sulung berkeras ingin ikut sama tetapi akhirnya mengalah.

Putera Muda pun melangkah ke tempat perangkap burungnya,tetapi di tengah jalan dia telah mengambil jalan pintas dan terus berlari menuju destinasi sebenarnya, iaitu tempat Si Malik Hatantar dilihat kelibatnya dua tiga hari ini iaitu di Lembah Asura, di mana bunga kembang semalam berkembang. Dia ingin mendapatkan bulu Si Malik dan mengalahkan saudara-saudaranya kerana dia ingin menghadiahkannya kepada saudara sulungnya yang akan dikahwinkan dengan Puteri Selindan dari Mangkabumi, sebagai hadiah perkahwinan. Jika kekanda abangnya tidak berkenan dia boleh menggunakan sakti bulu Si Malik sebagai ikhtiar jalan keluar.

Lembah Asura adalah bahagian dalam hutan yang sangat dalam ke hutan, tetapi ia tidaklah jauh dari tempat putera Muda dan saudara –saudaranya berburu, Cuma mereka jarang masuk ke situ. Putera Muda sebenarnya terdengar Pak We dan Mok Wok, pekerja di dapur Istana bersembang tentang Si Malik yang dilihat oleh pencari akar kayu beberapa hari lepas di Lembah Asura. Pencari akar kayu itu terus angkat kaki kerana terlalu banyak cerita menggerunkan tentang nasib orang-orang yang bertembung dengan Si Malik.

Putera Muda sebenarnya ingin menangkap Si Malik Hatantar sendiri sekaligus membuktikan kepada saudara – saudaranya bahawa walaupun dia paling muda dia juga berhati pahlawan. Jadi, dengan berhelah Putera Muda memohon izin dari saudara-saudaranya untuk pergi melihat perangkap burung yang dipasangnya dan akan menyusul dengan cepat kembali ke istana. Dengan segera, Putera Muda pun terus berlari menuju ke Lembah Asura.

Apabila sampai di sana, Putera Muda terus nampak Si Malik sedang memanjat pokok untuk mengambil madu di atasnya. Putera Muda ingin mengejutkan Si Malik lalu diapun mengacukan anak busur anak panahnya lalu megacukannya supaya mengena pokok yang paling dekat dengan kepala Si Malik, dengan harapan Si Malik terejut lalu terjatuh dan pengsan. Tanpa melengahkan masa, panah di raja itupun dilepaskan, seperti dirancang, Si Malik yang sedang tekun memanjat batang pokok tualang yang licin itu terkejut besar apabila panah itu muncul sangat berdekatan dengan kepalanya tetapi yang tidak diketahui Putera Muda adalah panahnya telah mengena seekor lebah, iaitu kawan Si Malik itu sendiri. Akibat terlalu sedih dan terkejut, Si Malik cuba berpaling mencari pemanah durjana itu tetapi tangannya terlepas dari pautan pokok licin itu lalu tanpa disedari badannya jatuh menghempap ke bumi dan Si Malik pengsan kerana kepalanya pula terkena sedikit bucu tunggul kayu.

Putera Muda yang gembira kegirangan dengan cepat memeriksa hasil buruannya itu dan apabila sampai Putera Muda terkejut kerana Si Malik Hatantar yang digeruni orang ramai bukanlah sebesar dan menggerunkan seperti yang diperkatakan, ia adalah beruang yang masih muda malah agak sama besarnya dengan tubuh putera muda yang berusia baru 11 tahun itu. Putera Muda pun mengikat kaki tangan dan mulut SI Malik yang sedang pengsan itu. Untuk langkah berjaga-jaga Putera Muda pun mencucukkan jarum sumpit berubat pelali ke bahu Si Malik agar dia terus tertidur untuk beberapa ketika. Putera Muda pun dengan bersusah payahnya cuba memikul Si Malik tetapi apakan daya, Si Malik ini berat dan selepas beberapa kaki mengheretnya Putera Muda mendapati langit sudah bertukar kelam dan angin ribut  dengan cepat menggantikan angin petang. Habis pokok-pokok dilibas dan dalam cuaca ribut dan taufan Putera Muda berasa agak cemas bagaimana untuk sampai ke istana.

Dalam Putera Muda cuba mencari jalan, tiba-tiba sahabatnya Arwana Pura, anak salah seorang penjaga tahanan ayahanda Putera Muda menyapanya.

“Wana, apa kau buat di sini. Terkejut beruk aku!’ kata Putera Muda

“Kau tu yang beruk, apa kau buat dalam hutan masa-masa nak ribut ni?” Tanya Arwana sambil mengerling kea rah Si Malik Hatantar.

“Wana, kalau aku terangkan pun sekali ribut datang, mati kita dihempap pokok kan nyesal kite semua. Apa kata ..”

“Apa kata ..apa kata..apa kata kita sekeh kepala anak raja ko yang bergeliga menipu abang dan AKU sekali ni! “ sambil menyekeh kepala Putera Muda sebelum sempat Putera Muda mengelak.

Angin taufan mula bertiup mengamuk membawa ranting dan daun-daun kering berenang merentas segala ruang hutan.

“Aduh!’ teriak Arwana dan Putera Muda apabila sebatang ranting melibas pipi mereka serentak. Tanpa berkata apa-apa kedua-dua mereka terus berlari dengan pantas mencari tempat berlindung tetapi setengah jalan, Arwana menarik tangan Putera Muda dan menuding ke arah sebujur beruang yang tengah lena berdengkur di tempat yang mereka tinggalkan.

“Ini semua salah kau, kalau aku yang mati dihempap pokok pandai-pandailah ko jawab kat ayah mak aku. Tujuh keturunan aku akan jadi hantu hisap darah ko!’

www.pinterest.com - Greek Warrior

“Bengong ko Wana, kite dalam hutan ni woii, nak mampus” kata Putera Muda sambil mengheret kaki Si Malik yang masih tak sedar itu. Mereka berdua mengheret Si Malik ke sebuah batu besar untuk berlindung tetapi Arwana mengarahkan supaya mereka terus bergerak kerana dia tahu satu tempat yang lebih selamat.

Hujan mula turun. Pada mulanya rintik-rintik tetapi dengan cepat sekali bertukar lebat. Kemudian angin maha dahsyat mula meroyan sehingga mencabut pokok dan batu-batu kecil dan sederhana berterbangan.

‘Sikit lagi, kat bawah batu tu Kita kena alihkannya di bawah tu ada penjara bawah tanah tinggalan orang lama ayah aku yang tunjuk kat aku dulu” kata Arwana.

Mereka dengan payah sekali mengheret Si Malik ke tepi batu itu dan mereka pun mengalih batu itu dan memang benar ada lubang di bawahnya.

“Apa kata kita jatuhkan Si Malik ni dulu kita pun tak tahu apa ada di bawah..hehe” kata Putera Muda

Belum sempat Arwana membantah, Putera Muda telah menolak tubuh Si Malik ke dalam lubang itu.

“Pelepap” bunyi tubuh SI Malik jatuh .

“Owh, tak lah dalam sangat!’ sengih Putera Muda yang terpaksa memegang tanjaknya daripada ditanggalkan angin yang bertiup kencang itu.

“Jom!” kata mereka berdua. Putera Muda jatuh ke atas badan SI Malik tetapi Arwana pula turun menuruni anak tangga kecil dari tali yang rupa-rupanya ada di dinding lubang tersebut.

“Ko kejam! Kalau SI Malik ni celik nanti kalau dia nak makan ko, aku tak halang. “ cebik Arwana.

Di dalam lubang yang yang berupa gua itu terdapat sebuah penjara kecil dari cerucuk besi dan SI Malik telah di pindah ke situ.

 

“Ada jalan di hujung tu..terowong ini pergi ke mana?”

“Erm …aku pun tak berapa tahu. Sumpah!” kata Arwana cepat-cepat. Sebenarnya dia tahu ke mana tetapi agak merbahaya melalui jalan sana. Putera Muda sebenarnya tidak perasan sampai sekarang bahawa kawan baiknya itu bukanlah anak salah seorang penjaga tahanan ayahandanya tetapi adalah seorang anak dewa kayangan yang ingin berkawan dengannya. Dipendekkan cerita, satu hari Arwana ingin bermain air dan mengejar ikan sepilar hutan di salah sebuah sungai dalam hutan tempat Putera Muda selalu berburu, lau Arwana menjelma menjadi ikan tetapi baru sesaat bertukar dia telah ditangguk oleh Putera Muda ke dalam balang.

“Cis, manusia ni!Aku makan kan baru tau ..” Arwana masih boleh bertukar bentuk kerana dia bukan calang-calang jin. Dia adalah anak raja Jin tetapi dia bukanlah jin yang jahat-jahat jadi dia pun membiarkan Putera Muda membawanya.

Yang peliknya, Putera Muda ini dalam perjalanan pulang ke istana ini tak habis-habis bercakap sendiri, terkumat kamit mulutnya. Lalu apabila didengar betu-betul rua-rupanya Putera Muda sedang berbahas sama ada untuk membela atau melepaskan sahaja ikan cantik yang baru ditangkapnya.

“Tak baik ni, kecian dia. Dia pun ada mak ayah dan adik beradik, kalau aku pisahkan dia ..ibarat kalau aku dipisahkan ..tak sanggup. Tapi ..tapi aku pun nak ada ikan yang cantik untuk ditunjuk kepada budak-budak istana yang suka memperkecilkan aku walaupun aku tak suka berlaga ikan sebab ia zalim tetapi kalau aku dapat tunjukkan aku dapat tangkap ikan yang cantik ini sendiri tentu mereka akan terkejut,” abang- abang saudaranya cuba memberi Putera Muda ikan yang mereka tangkap untuk tujuan sama keraan mereka tak mahu Putera Muda bersedih tetapi ia tak sama kerana jika budak-budak istana tahu, malu besar nanti.

Jadi selepas berdebat selama setengah jam di atas batu dengan balang kaca di tangannya, dengan Arwana yang hampir kepengsanan di panah matahari, putera Muda akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskannya.

“Pi lah ..kalau mereka dapat tengok betap cantiknya ko tentu terkejut mereka, mungkin mereka akan menjadi kawan aku..hmmmph nak buat macam mana,” kata Putera Muda sambil menjuih bibirnya.

“Bodoh!” kata Arwana yang terus melompat dan membuat sommersault berputar sebelum menjunam ke dalam air dan menghilang.

Tetapi pada keesokan harinya, apabila Putera Muda digertak dan ditertawa oleh budak-budak istana lain kerana gagal membawa ikan tangkapannya tiba-tiba, dalam balangnya mucul kembali ikan yang telah dilepaskan itu semalam.

Semua yang melihat ikan kecil itu terlopong kerana ia sangat cantik mengalahkan ikan- ikan sepilar dan laga yang lain. Sejak hari itu, Putera Muda mula diterima budak-budak istana dan boleh bermain bersama-sama mereka. Yang peliknya, pada petang itu juga, ikan itu hilang dari balang.

Sejak dari hari itu, Arwana yang kebosanan dalam istana Raja Jin mengambil peluang mengekori Putera Muda hinggalah suatu hari dia menjelma menjadi sebagai Arwana, anak penjaga tahanan ayahanda Putera Muda. Putera Muda yang gembira berjumpa rakan sebaya tanpa banyak soal terus mengajaknya berburu dan menangkap ikan serta memanjat pokok untuk mengusik kucing hutan yang sedang tidur di atas dahan.

Pada mulanya, segala aktiviti bersama Putera Muda tidaklah terlalu menjadi minat Arwana tetapi lama kelamaan dia pun semakin suka berkawan dengan Putera Muda kerana Putera Muda orangnya jujur, dan Putera Muda juga cepat bosan dengan kehidupan istana nasib yang sama dialami Arwana. Walaupun dilarang keras oleh ayahanda Raja Jin supaya tidak bergaul dengan manusia, Arwana bersyukur kerana kini dia mempunyai kawan sejati yang sangat baik.

Angin ribut tidak berhenti-henti di selangi dengan hujan lebat masih beronar di atas, perhati Arwana dari muka lubang tempat mereka bersembunyi.

Sedang Arwana menuruni tangga, dia terdengar seperti seseorang memanggilnya. Yang pasti bukannya Putera Muda kerana dia sedang berdengkur tidur di lantai tanah, kemudian Arwana tergamam apabila melihat Si Malik sudah bangun dan melambai-lambai kepadanya.

Oleh kerana Si Malik bercakap secara suara hati, Arwana pun terus bercakap dengan Si Malik.

“Bagaimana kau boleh bercakap dengan suara hati? Siapa kau sebenarnya?” Tanya Arwana

“Aku tidak tahu aku siapa…sebab aku telah disumpah dan aku tahu kau bukan manusia. Aku takkan bocorkan rahsia kau tapi dengan syarat kau perlu bantu aku,” kata beruang kecil itu

“Kau mengugut aku, berani ko! Hmmm,” sambil mengerling ke Putera Muda dia pun berkata “Apa yang ko nak?”

“Malam ni malam bulan mengambang, aku perlu mencari 7 dulang bunga kembang semalam untuk ditukar dengan air bunga Puteri Dewi Purnama. Aku dah kumpulkan bunga-bunga itu di satu tempat khas, ko perlu lepaskan aku pada tengah malam ini dan aku janji aku akan kembali,”

“Hey, macam mana aku nak percaya ko? Apa akan terjadi kalau ko tak sempat mandi air tu,”

“Semua bulu-bulu aku akan luruh dan selama sebulan aku menjadi dogol seluruh badan, dan badan aku alah kepada semua benda pabila aku cuba nak menutupnya.

“Apa nak malu, ko kan binatang?

“Cis Arwana, aku sebenarnya anak manusia ..seorang perempuan,”

“owh…” gelak kecil Arwana

Dengan sekelip mata, Arwana pun menghilang, kemudia muncul 7 dulang bunga kembang semalam di hadapan Si Malik. Si Malik tersenyum kegirangan sambil bertepuk tangan.

“Kau senyum ke tu, hodohnya! Jangan girang sangat nanti terbangun pula Yang Mulia kita ni,” kata Arwana

Tepat tengah malam, Arwana pun melepaskan Si Malik ke atas dan membantunya mengangkat dulang-dulangnya itu tetapi hujan lebat masih berterusan dan dengan serta merta bunga-bunga di atas dulang itu berterbangan semua. Si Malik berteriak cemas tetapi Arwana dengan pantas menangkap kesemuanya dan meletakkan kesemua dulang itu ke dalam bajunya.

Apabila sampai ke tempat yang dituju, mereka menunggu untuk seberapa ketika tetapi bulan purnama tidak kelihatan pada malam itu, maklumlah gelap dek hujan.

“Kalau dia tak datang macam mana?” Tanya Arwana

“Dia mesti datang, ini janji dia tak pernah tak datang,” kata Si Malik dengan risau.

Selepas beberapa lama menunggu di dalam hujan, Puteri Dewi yang ditunggu tak tak juga muncul Si Malik pun menangis, bukan menangis tetapi lebih kepada meraung bising almaklumlah beruang tetapi dek hujan lebat bunyinya tidak kedengaran dan yang kelihatan adalah Si maik yang terduduk kesedihan sambil mulutnya ternganga tertutup terbuka bersedu sedan.

Arwana pun turut bersimpati tetapi dia pun tidak arif tentang perkara ini. Masakan tidak, perihal asal SI Malik pun dia tidak perasan inikan pula sebab mengapa Puteri Dewi tidak turun.

“Apa nak jadi ni nanti?” Tanya Arwana

“Uwaaaaaa …tak boleh jadi ni! Uwaaaa,”

“Ish ish..tak elok, kamu kan pompuan, malu nanti orang tengok ade beruang lain datang lalu, terus tak nak dibuat isteri..,” pujuk Arwana

Tetapi Si Malik terus menangis, lagi kuat pula.

Selepas 3 jam, Arwana yang turut basah kuyup pun berkata “Jom baliklah, tak ada apa lagi boleh dibuat.nanti Putera Muda bangun mesti dia tertanya-tanya,”

“Aku malu kalu aku balik, nanti telanjang bulat malu!,” terang SI Malik kemudian mengangis lagi.

“okay..okay, Malik ..Malik ..kite cari jalan lain. Kenapa orang panggil ko Malik ?

“Dulu masa aku mula-mula disumpah beruang, aku kecil lagi tak reti nak cari makanan sendiri jadi aku merayau menangis lapar berhari-hari sehinggalah ada seorang pencari akar kayu jumpa aku. Dialah yang memberi aku makan sampai aku boleh berdikari. Dia panggil aku Malik sebab dia kata aku mengingatkan anaknya sendiri yang mati semasa kecil tetapi selepas dia tahu daripada seorang alim yang menasihatinya bahawa aku ni disumpah dari seorang kanak-kanak perempuan, dia pun panggil aku Seri sebab kata pakcik alim itu walaupun kita tak tahu asal usul sebenar aku, dia kena ingatkan yang aku ni manusia supaya aku tidak terus mengambil sifat beruang selamanya. Dia pun mereka nama Si Malik Hatantar supaya orang yang masuk hutan tidak mengganguku, bermacam cerita dia sebarkan untuk menakutkan orang ramai. Dulu, ayah angkatku (mula teresak-esak) akan bersama-sama mengumpul bunga 7 dulang itu dan bersama menunggu Puteri Dewi Purnama muncul,” terang Si Malik

“kalau begitu aku panggil ko Seri lah ye..sedih jugak cerita ko ni, macam-macam ada kan!” keluh Arwana, sambil memimpin Seri kembali ke lubang tempat perlindungan mereka dari ribut taufan yang tak henti-henti lagi.

Apabila Arwana dan Seri tiba di tempat perlindungan mereka, Arwana merasakan sesuatu tidak kena.

“Tuanku!” jerit Arwana apabila melihatkan bibir Putera Muda yang kebiruan.

Seri pula terlihat seekor ular tedung hitam besar sedang bersembunyi di ruang gelap tidak jauh dari kaki Putera Muda dan dia terus menerkam ke arahnya. Ular itu terus menyusur lari ke dalam gelap meninggalkan mereka dan mangsanya.

“Di mana ular itu menggigitnya?” tanya Seri. Arwana yang mula teresak-esak mula mencari-cari seluruh tubuh Putera Muda dan akhirnya menemukannya dekat tumit sebelah kaki kiri. Bahagian itu sudah mula bertukar hitam.

Putera Muda sudah tinggal nyawa-nyawa ikan.

“ini semua salah aku …,” kata Arwana dan Seri serentak, mereka tersentak dan saling berpandangan.

‘Aku tahu ke mana kita perlu bawa dia,” kata Arwana.

“Ke mana” balas Seri.

“Pegang tangan aku,” jawab Arwana sambil merangkul tubuh Putera Muda yang longlai itu.

Sekelip mata kemudian, mereka berada di sebuah kawasan di dalam hutan yang di penuhi bunga-bungaan seakan taman tersembunyi di dalam hutan. Tiada bunyi yang mencelah ..kecuali bunyi dari deruan mata air yang mengalir ke dalam kolam kecil di tengah taman hutan kecil itu.

“Di mana kita ni Wana? Aku tak pernah sampai ke tempat ni. Kita masih di hutan akukah?” Tanya Seri takut-takut.

“tidak Seri, ini jauh. Aku pun tak pasti aku boleh sampai di sini tadi. Aku tak pernah bawa orang dan beruang bersama-sama dan aku pun sendiri hanya pernah dengar tempat ni dari cerita ayah aku,”

“Apa tempat ni Wana? Ia sangat ..senyap.”

“Inilah  punca air kehidupan, kalau betul inilah tempatnya, hanya air ini boleh selamatkan Putera Muda, “ jelas ringkas Arwana sebelum berlari ke arah kolam kecil dan cuba menakung sedikit air ke dalam kedua tapak tangannya dan kembali ke sisi Putera Muda dan Seri.

“Seri, bukakan mulut dia,”

Lalu Seri pun membuka bibir Putera Muda sambil Arwana pun mengalirkan air dari kolam tersebut ke mulut Putera Muda. Mereka pun menunggu.

“Mungkin dia perlu lebih lagi,” teriak Arwana yang kemudiannya berpusing dan bergegas menangguk air kolam itu lagi. Kali ini Seri pun turut bangun dan cuba mengambil air tersebut. Selepas beberapa kali, mereka dapati Putera Muda masih tidak berubah dan mereka saling berpandangan dengan hampa.

“Adakah ini tempat yang salah,” kata Arwana dengan keliru.

“Aku hafal peta ini curi-curi dari peta dalam khazanah rahsia istana, aku menghafnya dengan tekun kerana aku memang merancang untuk ke sini, mula-mula sendiri tapi itu sebelum aku kenal Putera Muda ..tapi sekarang …”

“Hajatku terkabul tapi aku datang dengan Putera Muda dah mati..kita bertanggungjawab Seri, kita tak patut tinggalkan dia sorang- sorang tadi,’ keluh Arwana dengan kesal.

“Maafkan aku, kalau aku tahu jadi macam ni ..aku pun takkan minta ko tolong aku ke atas malam ni. Apa kita nak buat sekarang? Kita balik ke..mayat Putera Muda ni kita nak hantar macam mana, tentu risau keluarganya sebab tak balik-balik dari petang tadi ..tup tup dah mati pulak, uwaaa!” raung Seri.

:Aku terlalu letih lagi untuk baut perjalanan balik bawa korang berdua ni . . .lagipun aku terlalu sedih, aku takut aku terlepas korang atau sesat pula nanti,” kata Arwana

Sambil mengesat air mata dari pipi masing-masing, mereka memandang keadaan sekeliling mereka. Taman yang mereka sangka senyap rupa-rupanya berpenghuni Cuma mungkin kehadiran mereka bertiga telah menakutkan mereka. Kelihatan di balik pokok, seekor anak kijang sedang mengintai-intai. Begitu juga binatang lain seperti tupai, beburung dan juga …seekor kuda bersayap bewarna putih!

Binatang-binatang itu nampaknya tidak marah dan terus diam memerhati dari tempat persembunyian mereka.

“Maafkan kami kalau mengganggu, kami hannya ingin selamatkan kawan kami. Adakah ini air kehidupan, kenapa ia tidak menyelamatkan kawan kami?” tanya Seri .

Seekor demi seekor binatang itu mula mendekati mereka bertiga dan lama kelamaan membentuk satu bulatan mengelilingi mereka. Mereka duduk dan seakan-akan turut bersedih bersama Seri dan Arwana.

“Ahhok –ahhok! “ tiba-tiba kedengaran seperti orang batuk. Seri dan Arwana mengalihkan pandangan mereka ke sekujur tubuh Putera Muda yang masih diam layu, tetapi kemudian seluruh tubuhnya seperti terkena renjatan kuat dan Putera Muda batuk dengan kuat sekali lagi, kali ini seperti ada sesuatu terlekat di kerongkongnya. Arwana dan Seri yang masih terkejut cuba bertindak pantas dengan menepuk –nepuk belakang Putera Muda untuk membantunya. Keadaan bertambah buruk, muka Putera Muda menjadi merah seperti tidak boleh bernafas.

Sepasang arnab melompat-lomapt cuba mengambil perhatian, kemudian mereka lakonkan bahawa mungkin Putera Muda perlu sentak dengan memeluknya dari belakang. Seri pun dengan bantuan Arwana mengangkatnya dan Seri pun menyentaknya seperti yang arnab-arnab itu tunjukkan.

Mereka cuba teknik itu beberapa kali dan akhirnya Putera Muda dapat muntahkan kahak hitam dari yang terlekat di kerongkongnya.

“Apa dah berlaku? Kat mana ni?” tanya Putera Muda sambil matanya melilau melihat binatang dan tempat asing di sekelilingnya. Belum sempat Arwana nak terangkan, Putera Muda jatuh longlai ke bumi.

“Dia pengsan ke mati!” jerit Seri.

“Dia pengsan,” kata Arwan selepas mengesan masih ada nadi walau lemah.

Arwana dan Seri menarik nafas lega. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *